Karya ini sedang dinilai. Sebarang 'copy and paste' akan menyebabkan anda disaman di kemudian hari.

Pengikut

Khamis, 8 September 2016

PROLOG

Awira ambil sebatang jarum peniti dan segulung benang yang disembunyikan di dalam bajunya . Dia mengeluarkan kedua-dua benda itu sambil tersenyum sinis dan matanya mencerlung bulat.
“Kau nak buat apa dengan jarum dan benang tu?” tanya Sofi panik.
“Aku nak jahit mulut kau lah. Biar kau tak boleh bercakap lagi. Selama ni kau dah cukup banyak bercakap, sekarang aku nak diamkan kau pulak. Biar kau bisu. Biar kau cacat seumur hidup kau"
“Tenang, tenang Awira. Tenang. Istighfar banyak-banyak. Aku tahu aku yang salah. Cuma tolong jangan buat aku macam ni. Kita kan roommate. Aku tahu kau cuma bergurau kan sekarang ni. Jangan buat ya, Awira,” rayu Sofi dengan air mata tak berhenti-henti mengalir.
Roommate? Kau kata aku roommate kau? Kejap. Kejap. Kau mana ada roommate Sofi. Kau berangan ni. Hi..Hi..Hi..”
Tiba-tiba saja, satu batang jarum peniti masuk ke tepi bibir Sofi dan dicucuk dengan sedalamnya sehingga rasa sakit itu mampu buatkan tempurung otaknya rasa macam berkecai. Dia cuba untuk menjerit tetapi mulutnya ditutup dengan tangan kiri Awira.
 Teronta-ronta Sofi sekali lagi untuk lepas daripada Awira. Tetapi dia tidak berjaya. Dalam esak tangis, dia melihat satu batang jarum peniti lagi sedang menuju ke tengah bibirnya pula. Sofi hanya mampu melihat sahaja Awira melakukan kerjanya.
“Kau fikir aku tak kenal kau, Sofi? Aku tahulah kau tak pernah anggap aku ni kawan kau. Kau tak pernah pun anggap aku ni penting dalam hidup kau kan, celaka!” Peniti dimain-mainkan antara jari telunjuk dan jari hantu.
“Janganlah menangis. Aku kan sayangkan kau. Kalau kau menangis, nanti aku kasihan. Ala. Sikit aja. Tak sakit pun.” Awira bersuara perlahan, dan dikeluarkan lagi empat batang jarum peniti menggunakan sebelah tangan kanan.
Sofi mengeleng.
Jangan.
Jangan.
Jangan!!!

Tubuhnya kaku namun matanya masih tetap melihat satu batang jarum peniti lagi sedang menuju ke tengah bibirnya pula.